Home / Artikel / CUKAI ISLAM BERSIFAT SETEMPAT

CUKAI ISLAM BERSIFAT SETEMPAT

10 Feb 2025   Zaharudin bin Muhammad

MUKADIMAH

Zakat di dalam Islam adalah sistem cukai yang lengkap yang meliputi wajib bayar oleh umat Islam, wajib agih dan wajib kutip oleh kerajaan. dengan kata lain, zakat dikuatkuasakan melalui undang-undang (قضاء), bukan hanya wajib hukum (دينيا). Dengan kata lain, zakat dikuatkuasakan melalui undang-undang dan jika tidak membayar zakat, maka bahagian zakat boleh dirampas dan boleh dikenakan denda sebagaimana hadis nabi saw: 

ومن منعها فإنا آخذوها

Maksudnya: Barangsiapa yang enggan membayar zakat, maka aku akan merampasnya. (San'āni, No Hadis 576)

Dalam riwayat lain disebut وشطر ماله yang bermaksud, dan diambil bukan sahaja kadar zakat yang enggan dibayar, tetapi diambil lebihan sebagai denda di atas keenggannya. 

Dalil kepada kewajipin bayar melalui penguatkuasaan undang-undang ialah berdasarkan arahan Allah swt supaya kerajaan mengutip zakat ini : 

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (Quran: 9:103)

 

KEADILAN SISTEM CUKAI ISLAM.

Islam mempunyai dasar yang bijaksana dan adil dalam pengagihan hasil cukai. Antaranya ialah melokalkan sistem cukai negara dan tidak memusatkannya sebagaimana di zaman jahiliah dan dalam era kegelapan di Eropah, di mana cukai dan duti dikutip dari petani, pekerja, dan pedagang, serta golongan lain yang mencari rezeki dengan kerja keras, peluh, dan keletihan siang dan malam. Wang yang diperoleh ini, yang dicampur dengan peluh, darah, dan air mata, digunakan untuk memperkukuh takhta maharaja, raja, putera, atau sultan di ibu kota yang indah. Ia dibelanjakan untuk kemewahan, keangkuhan, serta memberi habuan kepada pengawal, penyokong, dan pengikut mereka. [1]

Jika ada lebihan, ia akan digunakan untuk memperluas dan memperindah ibu kota serta memuaskan hati penduduknya. Jika masih ada lagi lebihan, ia akan digunakan untuk bandar-bandar yang terdekat dengan tempat tinggal mereka yang mulia. Dalam semua ini, mereka lupa akan desa-desa yang bekerja keras dan jauh, dari mana cukai ini dikutip dan wang-wang ini diambil.[2] Dengan kata lain, sistem ini menyebabkan semua rakyat bekerja untuk pembangunan ibu kota yang didiami oleh pemimpin-pemimpin dan digunakan untuk dimanfaatkan oleh pemimpin-pemimpin negara. Cukai seperti ini bersifat penjajahan, iaitu semua rakyat diseluruh pelusuk negara bekerja dan hasilnya adalah untuk ibu kota dan pemimpin-pemimpin.

Apabila Islam datang dan memerintahkan umatnya mengeluarkan zakat dan memerintahkan pemerintah untuk memungutnya, Islam telah menetapkan satu dasar bahawa zakat itu hendaklah diagihkan di wilayah tempat ia dikumpulkan. Ini adalah perkara yang telah dipersetujui oleh fukaha dalam hal ternakan, tanaman, dan buah-buahan, di mana zakat diagihkan di tempat harta itu berada. Mereka juga sepakat bahawa zakat fitrah hendaklah diagihkan di tempat orang yang wajib menunaikannya bermastautin. [3]

Namun, terdapat perbezaan pendapat dalam hal wang dan seumpamanya, sama ada ia harus diagihkan di tempat harta itu berada atau di tempat pemiliknya berada. Pendapat yang lebih masyhur dan dipegang oleh kebanyakan ulama ialah zakat itu mengikuti tempat harta, bukan pemiliknya. [4]

Dalil bagi dasar ini ialah sunnah Rasulullah SAW dan amalan para khalifah yang arif bijaksana. Ketika Rasulullah SAW mengutuskan para pemungut zakat dan wakil-wakilnya ke wilayah dan negeri untuk mengumpulkan zakat, baginda memerintahkan mereka untuk mengambilnya daripada orang kaya di wilayah tersebut dan kemudian mengagihkannya kepada orang miskin di sana.

Sabda nabi saw:

تؤخذ من أغنيائهم وتعطى لفقرائهم

Kita juga pernah mendengar hadis Muaz yang disepakati kesahihannya, di mana Rasulullah SAW mengutuskan beliau ke Yaman dan memerintahkannya untuk mengambil zakat daripada orang kaya mereka dan mengagihkannya kepada orang miskin mereka.

Demikian juga, Muaz melaksanakan wasiat Nabi SAW. Beliau mengagihkan zakat orang Yaman kepada mereka yang berhak menerimanya di kalangan mereka. Beliau menulis surat kepada penduduk Yaman, bahawa zakat setiap wilayah harus diagihkan kepada mereka yang memerlukan di wilayah itu sendiri. Dalam surat itu, tertulis: "Sesiapa yang berpindah dari suku kaumnya," yakni yang memiliki tanah dan hartanya di sana, "maka zakatnya dan sepersepuluhnya harus disalurkan kepada suku kaumnya."

Menurut riwayat Abu Juhaifah, beliau berkata: "Pemungut zakat yang diutus oleh Rasulullah SAW datang kepada kami, beliau mengambil zakat dari orang kaya kami dan mengagihkannya kepada orang miskin kami. Saya adalah seorang yatim, dan beliau memberikan saya seekor unta muda sebagai sebahagian daripada zakat itu."

Dalam riwayat yang sahih, dikisahkan bahawa beberapa orang Arab Badwi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Demi Allah yang mengutusmu, adakah Allah memerintahkan engkau untuk mengambil zakat dari orang kaya kami dan membahagikannya kepada orang miskin kami?" Rasulullah SAW menjawab: "Ya.”

Abu Ubaid meriwayatkan bahawa Umar RA dalam wasiatnya berkata: "Saya berwasiat kepada khalifah selepasku, lakukanlah ini dan itu, dan saya berwasiat kepada khalifah selepasku untuk berbuat baik kepada orang Arab Badwi, kerana mereka adalah asal usul bangsa Arab dan asas Islam. Zakat ternakan mereka mesti dikutip dan diagihkan kepada orang-orang fakir di antara mereka." Begitulah amalan yang dilakukan sepanjang hayat Saidina Umar sebagai khalifah, di mana harta zakat diagihkan di tempat ia dikumpulkan. Para pemungut zakat akan kembali ke Madinah tanpa membawa apa-apa kecuali pelana yang mereka gunakan dan tongkat yang mereka jadikan sebagai penyangga.

Diriwayatkan daripada Said bin Al-Musayyib bahawa Umar telah mengutuskan Muaz sebagai pemungut zakat ke Bani Kilab atau Bani Dzubyan. Muaz mengagihkan zakat kepada mereka sehingga tidak ada lagi apa-apa yang tertinggal. Ia pulang hanya membawa pelana di atas kuda yang dibawanya sewaktu ia keluar dahulu.

Saad, sahabat Ya’la bin Umayyah dan seorang pemungut zakat berkata: "Kami biasanya keluar mengutip zakat dan kami Kembali hanya membawa diri kami sahaja (tanpa harta zakat). Umar pernah ditanya tentang apa yang harus dilakukan dengan zakat yang diambil dari orang Arab Badwi. Umar menjawab: 'Demi Allah, aku akan mengembalikan itu kepada mereka sehingga seorang daripada mereka pulang dengan seratus ekor unta atau dua ratus ekor unta.

Umar pernah ditanya tentang apa yang harus dilakukan dengan zakat yang diambil dari orang Arab Badwi. Umar menjawab: "Demi Allah, aku akan mengembalikan zakat itu kepada mereka sehingga seorang daripada mereka pulang dengan seratus ekor unta atau dua ratus ekor unta."

Berdasarkan manhaj pengurusan zakat yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw dan para khulafa’ raasyidun, maka para pemimpin Islam dan khalifah-khalifah yang adil dan para fuqaha sahabat mengeluarkan fatwa yang sama. [5]

Ini adalah asas kepada hukum lokaliti zakat dan tidak berpusat. Dari segi perbahasan kitab fikah dan mazhab-mazhab, saya boleh simpulkan terdapat dua sudut yang berbeza, antara hukum individu sebagai pengeluar zakat memindahkan zakat mereka ke negeri lain dan hukum kerajaan sebagai pengurus zakat.

Dari segi hukum kerajaan yang menguruskan zakat, saya tidak menemui dalil daripada mana-mana Khulafa’ Raasyidin yang melaksanakan pemusatan zakat bahkan sebaliknya menemui dalil-dalil mereka melarang zakat dipindahkan dari satu negei ke satu negeri sedangkan terdapat di negeri tersebut mereka yang masih memerlukan.

Antaranya ialah dalil-dalil di atas di mana Saidina Umar adalah Khalifah yang sifatnya sebagai pengurus agihan zakat melarang zakat dikeluarkan daripada tempatnya dikutip. Begitu juga Umar bin Abdul Aziz, khalifah yang adil dan salah seorang khulafa rasyidun melarang hasilan zakat dipindahkan ke tempat lain.

Diriwayatkan oleh Sufyan At-Thauri meriwayatkan bahawa pernah zakat dipindahkan daripada Rayyi ke Kufah, maka Saidina Umar Abdul Aziz mengarahkan supaya ia dikembalikan ke Rayyi. Diriwayatkan daripada Farqad As-Sabkhi, aku membawa zakat harta untuk diagihkan di Mekah, aku berjumpa dengan Said bin Jubir, ia memberitahuku supaya zakat itu dikembalikan ke tempatku untuk diagihkan ditempat ia dikutip. (fiqh zakat qardhawi).

Abu Ubaid berkata, berdasarkan hadis-hadis dan perlaksanaan para sahabat, maka ulama pada waktu itu bersepakat bahawa setiap kaum lebih utama dengan zakat tersebut selama mana wujudnya golongan yang memerlukan sehingga mereka mendapat bantuan secukupnya. Abu Ubaid berhujah dengan dalil-dalil yang dinyatakan di atas.

Dari segi hukum individu yang membayar zakat pula, sama ada sah atau tidak terdapat khilaf dikalangan mazhab. Jika ia dipindahkan ke tempat lain disebabkan ada keperluan, kebanyakan ulama dan majoriti mazhab menganggapnya sah dan gugur kewajipan (tidak perlu dikeluarkan kali ke dua). Manakala pendapat muktamad dalam mazhab Syafei dan satu Riwayat daripada Imam Ahmad menyatakan tidak sah dan tidak gugur kewajipan membayar zakat jika masih terdapat golongan yang memerlukan di tempat pengeluar zakat.[6]

Dari segi adakah berdosa jika dipindahkan ke tempat lain tanpa keperluan atau sebab yang khusus, Mazhab Syafi'i dan Hanbali berpendapat bahawa ia berdosa, sementara Mazhab Hanafi berpendapat bahawa ia tidak berdosa dan mereka menganggapnya makruh untuk memindahkannya, kecuali jika dipindahkan kepada sanak saudara yang memerlukan kerana di dalamnya terdapat penyambungan silaturahim, atau kepada individu atau kumpulan yang lebih memerlukan daripada penduduk tempat asalnya atau jika pemindahan tersebut lebih baik untuk umat Islam atau jika zakat dipindahkan dari negeri kafir kepada negeri Islam kerana fakir miskin di negeri Islam lebih utama dan lebih layak menerima bantuan daripada fakir miskin di negeri kafir atau kepada seorang alim atau penuntut ilmu kerana ia membantu dalam menunaikan misinyaatau jika dipindahkan kepada orang yang lebih wara' (takwa) atau lebih soleh atau lebih bermanfaat kepada umat Islam, atau jika zakat itu dibayar lebih awal sebelum cukup haulnya. Dalam semua keadaan ini, tidaklah makruh untuk memindahkan zakat." [7]

Ibrahim An-Nakhai dan Hasan Al-Basri mengecualikan pembayar zakat yang memindahkan zakat ke tempat lain disebabkan penerima itu adalah saudaranya. Abu Ubaid berkata: “Harus individu memindahkan zakatnya ke tempat lain khusus zakatnya atau hartanya. Adapun zakat dalam bentuk pemilikan orang ramai atau hasil kutipan atau tabungan zakat awam yang diuruskan oleh pemerintah, maka ia tidak boleh dipindahkan.

Khilaf-khilaf ini adalah berkaitan dengan kedapatan keperluan di tempat pengeluar zakat. Adapun apabila tempat pembayaran zakat itu sudah mencukupi atau tiada lagi keperluan, maka zakat harus dipindahkan ke tempat dan negeri yang lain sebagaimana disepakat oleh ulama.(fiqh zakat qardhawi).

Diriwayatkan bahawa Muaz menjadi pengutip zakat di kawasan Janad, Yaman sejak zaman Rasulullah saw dan Saidina Abu Bakar. Apabila tiba zaman Saidina Umar menjadi Khalifah, ia menghantar 1/3 zakat yang dikutip di sana kepada Saidina Umar. Pada peringkat awalnya Saidina menolaknya untuk dikembalikan semula ke Yaman, tetapi akhirnya Saidin Umar bersetuju untuk di bawa ke Madinah apabila tiada lagi golongan yang memerlukan di Janad, Yaman.

 

PENUTUP

Prinsip lokalisasi zakat dalam Islam ini adalah prinsip bagi menjadi keadilan dan bebas penjajahan. Dengan kata lain, prinsip ini bagi mengelakkan cukai dibayar oleh negeri lain tetapi dikecapi oleh negeri lain untuk pembangunan dan seumpamanya sebagaimana sistem konvensional hari ini.  

Dunia hari ini yang mengamalkan prinsip lokalisasi cukai ialah Amerika Syarikat. Gabungan negeri-negeri yang bersifat merdeka tanpa pemusatan cukai kepada New York menjadikan gabungan negara yang luas kekal dan utuh sampai hari ini. Kekuatan mereka bukan kerana mereka 'Amerika' tetapi konsep cukai Islam wujud di sana tanpa orangnya, tetapi konsep cukai Islam tiada di sini walau ada umatnya.

 

RUJUKAN.

[1] Fiqh zakat qardhawi: 809 (https://ia903400.us.archive.org/14/items/121-pdf_20210526/121%20%20%20%20pdf%20%20%20%D9%83%D8%AA%D8%A7%D8%A8%20%D9%8A%D9%88%D8%B3%D9%81%20%D8%A7%D9%84%D9%82%D8%B1%D8%B6%D8%A7%D9%88%D9%8A%20%20%D9%81%D9%82%D9%87%20%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%83%D8%A7%D8%A9_text.pdf)

[2] Fiqh zakat qardhawi: 809 (https://ia903400.us.archive.org/14/items/121-pdf_20210526/121%20%20%20%20pdf%20%20%20%D9%83%D8%AA%D8%A7%D8%A8%20%D9%8A%D9%88%D8%B3%D9%81%20%D8%A7%D9%84%D9%82%D8%B1%D8%B6%D8%A7%D9%88%D9%8A%20%20%D9%81%D9%82%D9%87%20%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%83%D8%A7%D8%A9_text.pdf)

[3] Fiqh zakat qardhawi: 810

[4] Fiqh zakat qardhawi: 810

[5] Lihat semua maraji’ ini dalam Fiqh zakat qardhawi: 810

[6] https://www.islamweb.net/ar/fatwa/12533/%D9%86%D9%82%D9%84-%D8%B2%D9%83%D8%A7%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%A7%D9%84-%D8%A5%D9%84%D9%89-%D8%A8%D9%84%D8%AF-%D8%A2%D8%AE%D8%B1-%D8%B1%D8%A4%D9%8A%D8%A9-%D8%B4%D8%B1%D8%B9%D9%8A%D8%A9

[7] https://www.islamweb.net/ar/fatwa/12533/%D9%86%D9%82%D9%84-%D8%B2%D9%83%D8%A7%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%A7%D9%84-%D8%A5%D9%84%D9%89-%D8%A8%D9%84%D8%AF-%D8%A2%D8%AE%D8%B1-%D8%B1%D8%A4%D9%8A%D8%A9-%D8%B4%D8%B1%D8ats%B9%D9%8A%D8%A9


10 Feb 2025   Zaharudin bin Muhammad