Home / Artikel / HUKUM KERAJAAN MENGAMBIL TANAH ATAS NAMA PEMBANGUNAN DAN EKONOMI

HUKUM KERAJAAN MENGAMBIL TANAH ATAS NAMA PEMBANGUNAN DAN EKONOMI

15 Aug 2024   Zaharudin bin Muhammad

Tidak harus bagi negara merampas apa-apa yang telah terbukti menjadi milik seseorang untuk diberikan kepada pihak lain seperti pemaju, GLC dan lain-lain untuk dibangunkan atau dinaik tarafkan kerana salah satu matlamat syariah dalam mendirikan negara adalah untuk melindungi harta rakyatnya. Jika negara merampas harta mereka dengan bayaran yang bukan dipersetujui oleh kedua pihak tanpa kepentingan yang sah menurut syariah, ini bermakna penubuhan negara islam telah lari daripada tujuan asas, iaitu menjaga rakyat dan kepentingan mereka.

Pengecualian terhadap pengambilan hak milik individu hanya dibenarkan jika ia bertujuan untuk kepentingan umum, seperti membina masjid, sekolah, hospital, jalan raya, jambatan dan kemudahan awam lain yang diperlukan oleh seluruh rakyat seperti pasar, dan seumpamanya. Dalam keadaan seperti ini, negara wajib memberi pampasan yang sesuai kepada pemilik yang ditentukan oleh para pakar yang adil.

Nabi Muhammad SAW telah membeli tanah untuk masjid Nabawi di Madinah daripada dua anak yatim dari kalangan Ansar dan membeli kebun dari Bani Najjar untuk tujuan yang sama, semuanya disebut dalam Sahih Bukhari. Banyak kejadian serupa berlaku pada zaman Nabi SAW, para khalifah yang adil, dan sepanjang sejarah negara Islam tanpa sebarang penolakan dari kalangan ulama.

Di dalam fatwa Islam Web menegaskan bahawa, pengambilan tanah dan rumah rakyat untuk kepentingan pelaburan adalah tidak dibenarkan. (Rujuk link) 

Isu ini juga telah dibincangkan oleh Majlis Fiqh Islam dan keputusan mengenainya telah dikeluarkan di dalam Keputusan Muzakarahnya No. (4) D 4/08/88 Mengenai Pengambilan Hak Milik untuk Kepentingan Umum: 

Majlis Fiqh Islam dalam persidangan keempatnya di Jeddah, Arab Saudi dari 18-23 Jamadilakhir 1408H, bersamaan 6-11 Februari 1988M, setelah meneliti kajian yang disampaikan kepada majlis mengenai isu "Pengambilan Hak Milik untuk Kepentingan Umum", dan berdasarkan kepada prinsip-prinsip syariah, yang menghormati hak milik individu, yang telah menjadi hukum yang diketahui dari agama secara pasti, dan bahawa pemeliharaan harta adalah salah satu daripada lima keperluan asas yang diakui sebagai matlamat syariah, dan bahawa banyak nas syariah dari al-Quran dan Sunnah mengesahkannya, dengan mengambil kira apa yang telah terbukti berdasarkan Sunnah Nabi dan amalan sahabat serta generasi selepas mereka dalam pengambilan hak milik harta untuk kepentingan umum, berdasarkan prinsip-prinsip syariah dalam menjaga kepentingan umum, menganggap keperluan umum sebagai darurat, dan menanggung kerugian individu untuk mengelakkan kerugian umum, maka diputuskan seperti berikut:

Pertama: Hak milik individu harus dijaga dan dilindungi daripada sebarang pencerobohan, dan tidak boleh disempitkan atau dikurangkan, dan pemilik berhak atas hartanya, serta boleh menggunakannya dalam semua cara yang dibenarkan oleh syariah.

Kedua: Pengambilan hak milik hanya boleh dilakukan untuk kepentingan umum dengan memenuhi syarat dan peraturan syariah berikut:

  1. Pengambilan harta harus disertakan dengan pampasan segera yang adil, yang dinilai oleh pakar dan tidak kurang daripada harga pasaran.
  2. Pengambilan harta harus dilakukan oleh pemerintah atau wakilnya dalam hal ini.
  3. Pengambilan harta hanya boleh dilakukan untuk kepentingan umum yang mendesak atau keperluan umum seperti masjid, jalan raya, dan jambatan.
  4. Harta yang diambil tidak boleh digunakan untuk pelaburan awam atau swasta, dan pengambilan harta tidak boleh dilakukan lebih awal daripada waktunya.

Jika syarat-syarat ini atau sebahagiannya tidak dipenuhi, maka pengambilan hak milik tersebut adalah zalim dan merupakan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Jika keputusan untuk menggunakan harta tersebut dalam kepentingan yang dinyatakan dibatalkan, maka keutamaan untuk mengembalikan harta itu adalah kepada pemilik asalnya atau kepada warisnya dengan pampasan yang adil.

Wallahu a'lam.


15 Aug 2024   Zaharudin bin Muhammad