Oleh: Ustaz Zaharudin bin Muhammad.
Solat jenazah ke atas syuhada adalah khilaf ulama mazhab. Tulisan ini adalah sebagai penerangan supaya yang melaksanakan solat ghaib tahu dalil dan hukum disebalik apa yang mereka laksanakan. Ia adalah perkara khilafiah yang tidak boleh diperbedatkan secara 'berlawan', tetapi ia mesti diambil dalam bentuk ilmu sebagai panduan amalan kita, bukan kita amalkan berdasarkan ikult-ikutan.
Sebelum menjawab soalan ini, terdapat 2 soalan yang perlu dijawab, iaitu apakah hukum solat ke atas syuhada' dan adakah mati diserang di rumah bukan di medan perang dianggap sebagai syahid?
PANDANGAN ULAMA BERKENAAN HUKUM MEMANDIKAN DAN MENGSOLATKAN JENAZAH.
Mazhab ahlu sunnah wal jamaah berselisih pendapat berkenaan hukum memandikan dan mengsolatkan jenazah para syuhada sebagaimana berikut:
Saya ringkaskan nukilan mazhab oleh Imam Nawawi di dalam kita Majmu’ (antara kitab fiqh muqarin paling awal):
Pendapat Pertama: Mazhab Syafei berpendapat haram hukumnya memandikan dan solatkan jenazah sebagaimana pendapat Jumhur Ulama. Pendapat ini juga adalah pendapat Ata’, Nakhai, Sulaiman bin Musa, Yahya Al-Ansari, Al-Haakim, Hammad, Al-Laith, Imam Malik dan pengikutnya di kalangan penduduk Madinah, Imam Ahmad bin Hambal, Ishak, Abu Thaur dan Ibn Munzir.
Pendapat kedua: Said bin Al-Musayyab (Al-Musiib) dan Hasan Basri berpendapat bahawa para Syuhada’ dimandikan dan disolatkan.
Pendapat ketiga: Imam Abu Hanifah, Imam At-Thauri dan Imam Muzani berkata: “para syuhada disolatkan tetapi tidak perlu dimandikan. Imam Abu Hanifah berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW telah solat untuk para syuhada Uhud dan juga solat untuk Hamzah. Antara hujah lain ialah riwayat daripada Abu Malik al-Ghifari RA bahawa Nabi SAW telah solat untuk para syuhada Uhud: sepuluh sepuluh, setiap sepuluh termasuk Hamzah sehingga Baginda solat sebanyak tujuh puluh kali. Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam al-Marasel, dan daripada Syaddad bin al-Hadi {bahawa seorang lelaki dari kalangan Badwi datang kepada Nabi SAW, beriman kepadanya dan mengikutnya serta menceritakan kisah tersebut dengan panjang lebar, termasuklah bahawa dia syahid dan Nabi SAW solat untuknya.
Diiriwayatkan oleh al-Nasai, dan daripada Uqbah bin Amir RA bahawa Nabi SAW keluar dan solat untuk para syuhada Uhud seperti solat untuk jenazah. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, dan dalam riwayat al-Bukhari bahawa Baginda solat untuk mereka selepas lapan tahun seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepada yang hidup dan yang mati.
Pentarjihan: Mazhab syafei dan jumhur adalah lebih kuat kerana bersandarkan hadis Jabir sebagai hujah bahawa Nabi SAW memerintahkan untuk menguburkan para syuhada Uhud dengan darah mereka dan tidak solat untuk mereka dan tidak memandikan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, dan daripada Jabir juga bahawa Nabi SAW berkata tentang para syuhada Uhud: “Jangan mandikan mereka kerana setiap luka atau darah mereka akan berbau wangi seperti kasturi pada hari kiamat, dan tidak solat untuk mereka.” Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dan daripada Anas bahawa para syuhada Uhud tidak dimandikan dan dikebumikan dengan darah mereka dan tidak solat untuk mereka. Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang hasan atau sahih.
Adapun hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh mereka yang mengatakan jenazah perlu disolatkan, telah disepakati oleh ahli hadis, semua hadis yang dijadikan sandaran mereka adalah lemah kecuali hadis Uqbah bin Amir. Kelemahan hadis-hadis yang disandarkan oleh pendapat yang menyatakan wajib disolatkan adalah lemah dan status lemah ini sangat jelas. Imam al-Baihaqi dan lain-lainnya berkata: Hadis yang paling dekat ialah hadis Abu Malik, ia adalah hadis mursal, begitu juga hadis Syaddad juga mursal kerana mereka adalah tabi'in. Adapun hadis Uqbah maka pengikut kami dan yang lain menjawab bahawa maksud dari solat di dalam hadis Uqbah ini ialah doa (bukan sembahyang). Dan sabdanya: “…solatnya untuk jenazah” bermaksud mendoakan mereka seperti doa solat jenazah. Jika ia adalah solat jenazah sebagaimana yang kita maklumi, tidak mungkin Baginda akan menangguhkannya selama lapan tahun. Tambahan pula tidak mungkin maksudnya solat jenazah (sebagaimana solat jenazah biasa) kerana di sisi kami tidak solat untuk syuhada, dan di sisi Abu Hanifah RA solat di kubur setelah tiga hari, maka hadis ini mesti dita'wilkan, dan kerana Abu Hanifah tidak menerima hadis ahad dalam perkara yang umum seperti ini.
ADAKAH SYARAT SYAHID MESTI DIBUNUH DI MEDAN PERANG?
Jumhur Ulama yang terdiri daripada Mazhab Hanafi, Hambali dan pendapat yang sahih daripada Mazhab Maliki dan Satu pendapat daripada Mazhab Syafei bahawa orang yang terbunuh (atau dibunuh) di bukan medan perang adalah Syahid secara mutlak, dalam apa bentuk sekalipun pembunuhan itu berlaku, sama ada ia lalai waktu dibunuh (seperti sedang makan lalu ditikam dari belakang) atau sedang tidur, sama ada ia sedang bersedia untuk berlawan atau sebaliknya.
Menurut kitab “حكم أحكام الشهيد في الفقه الإسلامي”, pendapat yang kuat ialah pendapat yang menyatakan orang yang mati (dibunuh musuh) adalah syahid kerana syarat mati di medan perang tiada dalil yang jelas.
Adapun perbahasan ulama di dalam kitab-kitab fekah berkaitan dengan ‘mati di medan perang’, fokus dan konteks perbahasan sebenar bukan medan perang, tetapi perbahasan sebenar berkait dengan punca kematian. Iaitu, jika seseorang tercedera di Medan perang, dibawa pulang kemudian meninggal, adakah ia perlu diuruskan sebagai syuhada’ atau tidak?
Jika kita perhatikan perbahasan ulama seperti Imam Al-Kaasani, Ibn Hazm, Imam Ahmad dan lain-lain, mereka membahaskan berkenaan kecederaan parah (الارتثاث) dan stabil (الحياة المستقرة ) akibat medan perang. Imam Al-Kaasani di dalam kitab Al-Badai As-Sonaai’ (بدائع الصنائع) menyebut: Barangsiapa yang dibawa pulang dari medan perang (dalam keadaan cedera tetapi) stabil, ia boleh bercakap, makan dan minum, tidur, berjual beli, atau ia kekal (hidup) dalam tempoh yang agak lama kemudian mati selepas itu, maka ia tidak dikira sebagai syuhada dunia, maka ia perlu dimandikan dan disolatkan (di dunia) dan diakhirat ia mendapat pahala orang yang syahid.”
Poin yang sama juga dibahaskan oleh Imam Ahmad di dalam kita المسائل, Imam Malik di dalam kita Al-Muwatta’, Imam Sarkhasi di dalam kitab Al-Mabsut dan lain-lain. Poinnya dan konteksnya ialah adakah punca kematian disebabkan cedera di medan perang atau disebabkan faktor lain. Maka kayu ukurnya adalah الارتثاث dan الحياة المستقرة. Justeru itu poin mereka ialah kesan maut disebabkan cedera peperangan akibat perbuatan musuh dalam usahanya pertahankan kalimah Allah walau di mana sahaja. tetapi apabila mati di rumah, jika matinya jelas akibat cedera perang maka dihukumkan syahid dunia akhirat dan jiika tidak jelas adakah akibat perang atau tidak, maka stabil atau sebaliknya adalah kayu ukur, bukan isu mati di medan perang atau di rumah. Maka jika dia mati dirumah akibat cedera parah di medan peperangan sehingga koman, tidak boleh makan atau minum, diusung dan sebagainya, maka mazhab-mazhab ini berpendapat hukumnya adalah syahid dunia dan akhirat. Jika dia stabil, boleh makan minum, berjual beli dan sebagainya, maka mati di rumah selepas itu tidak dianggap sebagai kesan perang dan ia dianggap syahid akhirat, dimandikan dan disolatkan seperti biasa.
Dengan kata lain, syarat syahid ialah seseorang dibunuh oleh musuh disebabkan menegakkan kalimah Allah, sama ada musuh menyerangnya di rumah, diluar rumah, dimedan perang atau sebagainya sebagaimana yang disebut di dalam kita حكم أحكام الشهيد. Jadi kita perlu perhatikan konteks perbahasan ulama berkaitan mati dimedan perang, ia bukan perbahasan medan perang itu sendiri tetapi adakah ia mati akibat dibunuh atau sebab lainnya.
Jika hari ini, seseorang yang ada kencing manis kronik berjihad di medan perang, kemudian ditembak, dan mengalami kecederaan ringan, dia boleh pulang kerumah, makan minum seperti biasa, berjual beli seperti biasa, tetapi lukanya merebak disebabkan kencing manis, maka hukumnya adalah syahid akhirat dan perlu disolatkan dan dimandikan walaupun kematiannya ada kaitan dengan luka di medan perang. Tetapi jika dia ditembak, koma, dibawa pulang kemudian meninggal selepas 3 hari, maka hukumnya adalah syahid dunia akhirat. Ini konteks yang sebenar berkaitan perbahasan mazhab berkaitan medan perang. Bukan mereka meletakkan syarat medan perang sebagai syarat untuk syahid dunia; tidak boleh disolatkan dan dimandikan.
Kesimpulan dan Penutup.
Jika menurut mazhab jumhur, hukum solat ghaib ke atas As-Syahid Ismail Haneyah adalah tidak dibolehkan justeru ia dibunuh oleh musuh Islam yang ada kaitan dengan Gaza. Sekalipun ia diserang di rumah, bukan dimedan perang, maka ia tetap dianggap syahid justeru medan perang bukan syarat utama untuk dianggap syahid.
Walau bagaimanapun, bagi yang ingin laksanakan solat ghaib, ia dilakukan berpandukan kepada Mazhab Hanafi sebagaimana dinyatakan di atas. Dalam disiplin ilmu shariah, pemakaian mazhab ini perlu mengikulti disiplin berkaitan Ijtihad, Ittiba' dan Taqlid, bukan ambil mudah dan mengambil mazhab mengikut selera dan keinginan (التساهل).
Kita mendoakan semoga kita mendapat syahid sebagaimana para syuhada, rasul2 dan golongan salehin.
Wallahuaklam.